RotiKaya |
- Filem Minggu Ini — Need For Speed: Penuh Aksi Perlumbaan Kereta Hebat!
- Ahli Perniagaan Fail Saman Terhadap Zarina Anjoulie Atas Isu Kereta Mewah
- Fakta Hiburan Yang Perlu Anda Tahu Sebelum Masuk Pejabat Hari Ini (N.521)
- Selebriti Sekitar Perkahwinan Aidil Zafuan, Zarema Zainal
| Filem Minggu Ini — Need For Speed: Penuh Aksi Perlumbaan Kereta Hebat! Posted: 17 Mar 2014 12:06 PM PDT Video games hari ni bukan sahaja sekadar permainan tetapi sudah menjadi sumber cerita untuk bidang perfileman yang semakin kerap dibikin. Asal-usul permainan video secara zahir dikatakan bermula di funfair yang kemudiannya dibawa ke dalam rumah melalui media elektronik oleh paparan di skrin televisyen atau komputer. Filem ini pula membawa permainan itu kembali ke bentuk fizikal dengan memberikan emosi dan rupa yang lebih realistik, hidup. Need For Speed (2014) ialah sebuah filem aksi dari adaptasi kisah video games berasaskan lumba kereta NFS milik syarikat Electronic Arts (EA) yang sangat mendebarkan arahan Scott Waugh. Kalau sebelum ini, kebanyakan filem adaptasi seangkatannya bergenrekan aksi pertarungan kekuatan, fiksyen sains atau fantasi, filem ini pula mengangkat cerita yang menekap realisme kehidupan sekumpulan manusia yang berani mati berlumba haram di jalanraya awam. Jalan ceritanya sangat mudah diikuti kerana umpan utama yang hendak dipancing oleh produksi filemnya kepada penonton ialah aksi-aksi perlumbaan itu dan kejadian perlanggaran ngeri. Ringkasan ceritanya begini, 5 orang sahabat yang mengendalikan bengkel ubah suai kereta akan berlawan dengan seseorang yang pernah sekampung dengan mereka, untuk membuktikan siapa yang lebih handal dan siapa di pihak yang benar? Tobey Marshall (Aaron Paul) ialah ketua dan hero filem ini. Manakala Dino Brewster (Dominic Cooper) ialah lawan kepada Tobey. Anita Coleman (Dakota Johnson) ialah bekas kekasih Tobey yang kini menjadi tunang Dino. Pete Coleman (Harrison Gilbertson) ialah adik kepada Anita yang juga ialah antara kawan baik kepada Tobey. Salasilah perwatakan yang diperkenalkan di awal-awal filem memberitahu asas konflik yang akan merebak menjadi pertembungan sengit di antara Tobey dan Dino. Sebenar-benar ledakan plot Need For Speed mula melonjak apabila suatu tragedi ngeri berlaku semasa perlumbaan kereta di antara Tobey, Dino dan Pete. Penceritaan seterusnya sehingga penamat ialah persoalan sama ada Tobey berjaya atau tidak untuk mengalahkan Dino dalam suatu perlumbaan kereta yang sangat eksklusif bernama 'De Leon' anjuran Monarch (Michael Keaton) di San Francisco yang menawarkan hadiah 7 juta USD. Pergi tonton di pawagam sekarang untuk mendapatkan jawapannya. AMARAN: Ulasan seterusnya mungkin mengandungi spoiler! Need For Speed menunaikan janji kepada penggemar permainan video-nya yang sudah masak dengan taktik dan simulasi semasa menjadi 'pemandu' permainannya. Maksud saya, filem ini 'menumpangkan' penonton bersama Tobey, Dino dan watak-watak lain untuk merasai pengalaman semasa perlumbaan iaitu paparan dan aksi dari dalam dan luar kereta. Litar perlumbaannya juga meliputi lokasi yang berbeza-beza dengan cabaran dan halangan merbahaya yang perlu direntasi. Jenis dan jenama kereta yang dilumbakan pula merangkumi kategori muscle car dan supercar. Pembikinan filem ini cuba sedaya-upaya untuk merealisasikan sekuen-sekuen aksi melalui kereta-kereta yang sebenar dengan sedikit bantuan imej janaan komputer (CGI). Tidak lupa, filem ini menyelitkan babak kejar-mengejar pihak polis dengan Tobey dan pelumba-pelumba lain, dari darat dan udara. Ditambah juga halangan-halangan dari pihak ketiga yang mahu menggagalkan misi Tobey di sepanjang perjalanannya. Asas isi kandung yang serupa sudah dibikin berkali-kali dalam permainannya. Sedikit nilai tambah filem Need For Speed ialah kisah kemanusiaan dari persahabatan yang mengundang dendam kepada Dino dan mahu membasuh nama baik Tobey. Kemenangan pertandingan kereta ialah keadilan untuk pihak yang benar, walaupun dengan cara yang salah iaitu perlumbaan haram. Filem ini bermula dengan beberapa aksi ngeri perlumbaan di jalanraya pekan kecil Mount Kisco. Kemudian ia dikembangkan ala road movie mengikuti Tobey dan Julia Maddon (Imogen Poots) dari State of New York ke San Francisco merentasi berbagai cabaran untuk sampai dalam pengejaran masa 45 jam. Beberapa babak ngeri berjaya dibikin di sepanjangnya, iaitu Benny @ Maverick (Scott Mescudi) yang memandu berbagai pesawat di udara serta gandingan Finn (Rami Malek) dan Joe Peck (Ramon Rodriguez) yang mengekori kereta Tobey. Namun anda wajar iyakan sahaja babak-babak itu yang sememangnya meletup tetapi agak merepek bila difikirkan semula. Finale filem ini ialah perlumbaan sengit 'De Leon' untuk membuktikan siapakah yang lebih hebat di antara Tobey atau Dino? Dari sudut lakonan, semua pelakon yang menjayakannya seumpama barisan terbaru yang bakal menghiasi sekuel-sekuel filem ini sekiranya ada, mirip kumpulan The Fast and the Furious (2001). Untuk filem ini, keberkesanan lakonan bukan elemen utamanya kerana ia lebih menumpukan kepada paparan aksi-aksi perlumbaan yang hebat. Namun begitu, penampilan Michael Keaton sebagai watak Monarch walaupun sekadar beraksi dari bilik siaran langsung di rumahnya ke video di internet, berjaya menambahkan debaran dari komen-komen santainya mengenai latar konflik Tobey-Dino serta ulasan semasa perlumbaan 'De Leon' tersebut. Oh ya! paparan jalanraya laluan perlumbaan dan kedudukan pelumba yang dipaparkan di skrin komputer milik Monarch juga seperti paparan di video games Need For Speed. Filem ini seperti juga misalnya francais filem Transformers yang penting hendak disaksikan ialah bentuk fizikal robot, manakala filem ini melalui rupa bentuk kereta dan aksi-aksi perlumbaan, cerita manusia di dalamnya sekadar latar yang ringan. Dalam filem ini, sebuah kereta Ford Mustang ialah antara tarikan utamanya. Ini contoh filem yang sedia ada namanya popular dalam versi video games sebagai tarikan komersial besar-besaran untuk menjual filemnya, kemudian serentak dengan pasaran maksima permainannya yang terbaru. KESIMPULANNeed For Speed ialah filem yang laju. Seandainya debaran kelajuan denyutan jantung semasa memandu kereta yang meluncur sepantas kilat dan merbahaya yang anda mahu rasakan, inilah filemnya! Bolehlah saya berikan 4 BIJI ROTIKAYA. |
| Ahli Perniagaan Fail Saman Terhadap Zarina Anjoulie Atas Isu Kereta Mewah Posted: 17 Mar 2014 10:46 AM PDT Seorang ahli perniagaan menyaman pelakon kontroversi Zarina Anjoulie Lavocah dan lima yang lain kerana dakwaan kecuaian dan penipuan berkaitan sebuah kereta mewah. Kevin Shah Kadar Shah, 33 berkata bapanya Kadar Shah Sulaiman telah membeli sebuah kereta jenis BMW 3201 Limosin RHD dan mendaftar kenderaan itu di bawah namanya (Kadar) pada 17 Mei 2010. Beliau berkata bapanya yang juga ahli perniagaan telah mendapat kemudahan pinjaman daripada Public Islamic Bank Bhd dan menandatangani perjanjian untuk membiayai pembelian kereta. Kevin Shah berkata bahawa bapanya telah meminjamkan kereta mewah itu yang memiliki nombor pendaftaran WTN 8850, kepada Zarina Anjoulie untuk kegunaan harian pelakon tersebut. Beliau berkata bahawa bapanya telah meninggal dunia pada 19 November 2011 tetapi Zarina tidak mengambil sebarang inisiatif untuk mengembalikan kereta tersebut kepada keluarga beliau. Bagaimanapun, beliau mendakwa bahawa kereta itu telah ditarik oleh bank walaupun mempunyai rekod bayaran yang cemerlang selain terkejut mengetahui yang kereta tersebut kini mempunyai plat pendaftaran yang berbeza — BLP 8858. Beliau berkata bahawa carian dengan Kementerian Pengangkutan tahun lalu mendedahkan bahawa bapanya telah didaftarkan sebagai pemilik sah untuk kedua dua nombor plat tersebut. Setelah menghantar surat kepada kementerian itu melalui peguamnya untuk mendapatkan penjelasan, beliau dimaklumkan bahawa bapanya telah didaftarkan sebagai pemilik sebuah motosikal dengan nombor plat WTN 8850 dan pemilik kereta dengan nombor plat BLP 8858. Beliau mendakwa bapanya tidak pernah bersetuju dengan mana-mana pihak untuk memohon kepada Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Selangor untuk menukar nombor plat pendaftaran keretanya. Kevin juga mendakwa bapanya tidak pernah mengeluarkan surat bertarikh 28 Februari 2011 kepada bank itu dan tandatangan di atas surat itu telah dipalsukan oleh seorang kerani bernama Salleh Idris atau Zarina Anjoulie sendiri atau mana-mana pihak tanpa persetujuannya. Beliau telah menamakan pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Selangor, Kementerian Pengangkutan, Kerajaan Malaysia, Zarina Anjoulie, Salleh Idris dan Public Islamic Bank Bhd sebagai defendan dalam tuntutan mahkamah beliau. Bercakap kepada pemberita di sini pada hari Isnin, Peguam Persekutuan Nur Aqilah Ishak berkata Hakim Mahkamah Tinggi Hue Siew Kheng telah menetapkan 7 April 2014 untuk mendengar empat permohonan . Dalam saman yang difailkan pada 12 November tahun lepas, Kevin Shah yang merupakan pentadbir harta bapanya, memohon ganti rugi dan pengisytiharan bahawa bapanya adalah pemilik sah kepada kereta yang disebutkan dalam tuntutan. — The Star |
| Fakta Hiburan Yang Perlu Anda Tahu Sebelum Masuk Pejabat Hari Ini (N.521) Posted: 17 Mar 2014 09:55 AM PDT VIDEO HARI INI: Kalau boss kami punya teman wanita, ini kemungkinan besar senario yang beliau bakal hadapi setiap hari. Dan, tunggu sehingga habis video untuk efek drama maksimum. Selepas diisytiharkan muflis beberapa bulan lalu khabar terbaru pula mengatakan yang vokalis kumpulan Mojo, Aweera kini ada masalah kesempitan wang yang teruk sehingga terpaksa meminta minta pada seorang VIP. Betulkah? – Utusan Malaysia Penyanyi yang popular dengan lagu Royal, Lorde menyelar sebuah media di Hollywood kerana mengirimkan e-mail bertanya sama ada beliau kini sudah bertunang dengan kekasihnya, James Lowe hanya kerana gambar beliau memakai cincin. – Huff. Post Sering dilihat menggayakan topi jenis flatbill ketika penggambaran program Running Man, Song Ji Hyo dilaporkan bakal keluar dengan koleksi topi sendiri hasil kerjasama dengan jenama NBA dan koleksi itu diberi nama CHO.2. – Soompi Masih belum reda lagi rupanya demam filem Frozen ini, terbaru seorang pelajar dari Dallas Baptist University merakamkan lagu tema filem itu Let It Go dengan menggunakan suara 21 watak popular studio animasi Disney dan Pixar. – Youtube / Brian Hull Menteri Belia Dan Sukan, Khairy Jamaluddin menafikan dakwaan yang mengatakan dirinya mempunyai kaitan dengan penganjur konsert Future Music Festival Asia (FMFA) 2014 yang dilanda kontroversi selepas kematian enam pengunjung akibat penyalahgunaan dadah. – Astro Awani |
| Selebriti Sekitar Perkahwinan Aidil Zafuan, Zarema Zainal Posted: 16 Mar 2014 06:38 PM PDT Nampak kami letakkan selebriti di hadapan nama Aidil Zafuan & juga Zarema Zainal kerana mereka berdua masih belum masuk senarai selebriti dalam buku kami. Heh. Namun tidak mengapa, anda semua pasti tetap mahu melihat gambar perkahwinan mereka. Aidil Zafuan yang juga merupakan bekas suami kepada pelakon Rita Rudaini telah pun selamat diijabkabulkan dengan pilihan hatinya, Zarema Zainal dengan hanya sekali lafaz pada jam 10.50 pagi pada Jumaat yang lalu. Majlis pernikahan pasangan ini telah berlangsung di kediaman pengantin perempuan yang terletak di Pandamaran, Klang. Rombongan pengantin lelaki memberi sembilan dulang hantaran beserta mas kahwin RM7000 dan dibalas 11 oleh pihak perempuan. Menariknya, Nora Danish dan kekasihnya Nedim Nazi dilihat menjadi mereka yang agak penting dalam majlis pernikahan dan resepsi perkahwinan mereka sepanjang hujung minggu lalu dengan tampil menjadi salah seorang pembawa dulang dan juga pengapit (?). Resepsi perkahwinan Aidil Zafuan & Zarema Zainal telah diadakan semalam yang turut dihadiri oleh ramai selebriti tempatan termasuklah Datuk Siti Nurhaliza, Awal Ashaari, Scha al-Yahya dan Fizo Omar selain turut mengundang penyanyi Indonesia, Afgan untuk menghiburkan hadirin. Terima kasih internet untuk semua gambar yang kami temui di’bawah dan juga terima kasih kepada jurugambar yang mengambil gambar sekitar perkahwinan Aidil Zafuan & Zarema Ismail. Terlalu ramai untuk kami sebutkan nama. Terima kasih kali sejuta. Enjoice! |
| You are subscribed to email updates from ROTIKAYA To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
| Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 | |
No comments:
Post a Comment
Harap dapat berkongsi pengalaman anda dengan calon-calon pembantu penguasa kasta w17 yang lain.